Sunday 16 October 2011

Hudud vs Civil Law



Kebelakangan ini, isu Hudud sering dijadikan bahan perdebatan dan perbincangan dikalangan kepimpinan negara tatkala kita semakin hampir dengan Pilihan Raya Umum ke 13 Malaysia. Lebih malang lagi, pandangan dan pendapat yang diberikan secara sewenang-wenangnya di media massa dan elektronik begitu jelas membuktikan tahap kejahilan dan kebatilan para pemimpin yang telah diberikan mandat untuk memacu kepimpinan Malaysia dalam PRU sebelum ini. Tidakkah mereka sedar, kata-kata jahil mereka itu boleh menggugurkan akhidah mereka sebagai seorang Islam?

Hudud dan Qisas bukanlah perkara yang boleh diperdebatkan-debatkan. Ianya adalah hukum dan syaria't yang telah dititahkan oleh Allah S.W.T melalui ayat-ayat yang diturunkan di dalam Al-Quran.

Sebagai contoh:

Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh.
(Surah al-Baqarah, 2:178)

Dan dalam qisas itu ada jaminan hidup bagimu, wahai orang yang berakal, mudah-mudahan kamu bertakwa.
(Surah al Baqarah, 2:179)

Yang demikian adalah menurut 'sunah Allah' (undang-undang dan peraturan Allah) yang berlaku kepada orang yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi 'sunah Allah' itu.
(Surah al-Ahzab, 33:62)

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rotanlah kedua-duanya seratus kali rotan.
(Surah al-Nur, 24:2)

Lelaki dan perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan mereka sebagai balasan daripada apa yang telah mereka lakukan dan sebagai pencegah daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Ma'idah, 5:38)


Selain daripada maksud ayat-ayat di atas, terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. yang menagarahkan umat Islam untuk melaksanakan syaria't Allah S.W.T. berkaitan Hudud, Qisas dan Takzir ini.

Jelas dan nyata bahawa perlaksanaan undang-undang Islam ini adalah satu hukum dan syaria't yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Apatah lagi untuk sebuah negara yang mengakui diri sebagai sebuah negara Islam. Salah satu ciri negara Islam ialah negara tersebut wajib mengamalkan sistem pemerintahan dan perudangan Islam yang sebenar seperti yang diperintahkan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. Otherwise, ianya masih lagi dianggap sebagai negara Yahudi atau Nasrani yang tidak layak digelar negara Islam.

Isu Malaysia sebagai negara majmuk yang mempunyai berbilang kaum dan latar belakang Agama, sebenarnya, pandangan dari kaum-kaum bukan Islam langsung tidak perlu diambil kira dalam persoalan ini kerana Hudud adalah syaria't Allah S.W.T. untuk umat Islam. Ianya sama seperti syaria't Allah dalam perkara-perkara seperti Solat, Azan, Puasa, Zakat dan sebagainya. Perlukah kita mengambilkira pandangan bukan Islam untuk melaksanakan Solat 5 waktu? Perlukah kita mengambilkira pandangan bukan Islam untuk melaksanakan Solat Jumaat? Puasa sebulan dibulan Ramadhan? Pungutan dan pengagihan Zakat? Perlaksanaan ibadah Haji dan Umrah? Perlaksanaan ibadah Qurban? Pengurusan Jenazah? Laungan Azan/Iqamah dan sebagainya? Jawapannya sudah tentulah tidak! Maka samalah juga dalam perlaksanaan undang-undang Islam!

Terdapat pandangan yang mengatakan, sekiranya undang-undang Islam di Malaysia dilaksanakan untuk umat Islam sahaja, ianya akan jadi tidak adil kerana kaum bukan Islam akan tetap dihukum mengikut undang-undang sivil yang dianggap jauh lebih ringan daripada Hudud dan Qisas. Tidakkah mereka yang mengeluarkan pandangan ini sedar... salah satu manfaat apabila pesalah Islam dihukum dengan hukuman Islam, mereka akan dibebaskan daripada hukuman Akhirat atas kesalahan yang telah mereka lakukan itu. Kalau ianya dilaksanakan kepada kaum bukan Islam... tempat mereka akan tetap di sana. Untuk apa hukuman tersebut dilaksanakan ke atas mereka?. Fikirkanlah, bertapa malangnya umat Islam yang melakukan kesalahan, kemudiannya didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman sivil. Di dunia, beliau telah dihukum (diseksa) tetapi diakhirat nanti, mereka sekali lagi pasti akan dihukum dengan azab yang jauh lebih menyeksakan lagi. Azab api neraka bukanlah perkara main-main. Mampukah kita menjilat ekzoz motosikal yang sedang panas? Bayangkan, api neraka sebesar buah tamar sudah cukup untuk menghacurkan 7 petala langit dan bumi disebabkan kepanasannya.

.

Friday 19 August 2011

Peluang Keemasan Di Bulan Ramadhan...


Ramadhan adalah waktu keemasan atau bonus kepada orang-orang yang beriman. Selepas 11 bulan menjalani kehidupan dengan dosa-dosa... sebulan pada bulan Ramadhan ini adalah waktu untuk kita membersihkan hati kita dengan memperbanyakkan ibadah dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.

Sesungguhnya, barang siapa yang berdiri malam (Solat Sunat) pada bulan Ramadhan, Allah S.W.T. akan ampunkan dosa. Amalan Solat Sunat khas yang disarankan pada bulan Ramdahan adalah Solat Sunat Tarawih yang hukumnya adalah Sunat Mua'akad yakni perkara sunat yang sangat-sangat digalakkan. Amalan ini adalah peluang keemasan bagi mendapatkan keampunan, kerahmatan dan pembebasan daripada azab neraka.

Lailatul Qadar, malam istimewa yang lebih baik daripada 1000 bulan, pasti akan bertemu mereka-mereka yang beriman pada suatu malam dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Sesiapa yang qiam pada malam Lailatul Qadar, Allah S.W.T. akan ampunkan dosa-dosa yang telah lalu.

Kata Jibrail kepada Rasulullah S.A.W., barang siapa yang dapat betemu dengan Ramdhan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah S.W.T., beliau akan dihumbankan ke Neraka.

Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan, Syurga Rayyan pasti akan menanti mereka.

Pada bulan Ramadhan, Syaitan-syaitan akan dibelenggu. Walaubagaimanpun, masih ramai lagi manusia yang membuat maksiat pada bulan yang mulia ini. Ini adalah kerana mereka telah tertewas dengan godaan nafsu mereka sendiri.

Bagi mereka yang berpuasa tetapi tidak bersolat, sesungguhnya, puasa mereka tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Orang yang meninggalkan Solat dengan sengaja adalah orang yang dianggap kafir secara terang-terangan. Allah S.W.T. tidak akan menerima amalan-amalan yang dikerjakan oleh orang-orang kafir.

Renung-renungkanlah....

.

Membaca Al-Quran



Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang diturunkan kepada Nabi junjungan kita Muhammad S.A.W. Ianya diturunkan sebagai panduan kepada seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat. Kewajipan mentaati ajaran Al-Quran menjadi salah satu rukun di dalam rukun Iman.

Dalam kuliah Zohor Dr. Azhar Yaakob baru-baru ini, beliau ada menyatakan tentang kewajipan membaca Al-Quran sebenarnya bukanlah hanya sekadar bertadarus di bulan Ramadhan sahaja. Umat Islam perlu berusaha untuk menghafaz Al-Quran. Tips mudah yang disarankan oleh beliau adalah dengan menhafaz 1 ayat Al-Quran untuk 1 hari. Kaedah yang sama ini turut mula diamalkan oleh saudara-saudara kita di Indonesia yang mana mereka menyimpan matlamat untuk mempunyai seorang Presiden yang hafaz Al-Quran satu hari nanti.

Allah S.W.T. telah menjadikan Al-Quran sebagai sesuatu yang mudah untuk diingati (hafazan). Maka setiap hari, kita perlu memperuntukkan masa untuk membaca Al-Quran. Kita perlu memandang Al-Quran dengan mata hati kita dan bukannya dengan mata zahir mahupun nafsu. Jika kita tidak ada masa untuk Al-Quran, kelak Al-Quran tidak akan meluangkan masa untuk kita dihari akhirat nanti. Sesungguhnya, Al-Quran akan memberi syafa'at kepada mereka yang membacaNya untuk dimasukkan ke syurga pada hari pembalasan. Peruntukkanlah masa kita untuk Al-Quran setiap hari sementara masih ada kesempatan.

.

Tuesday 2 August 2011

Selamat Kembali Ramadhan...



Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah S.W.T. kerana sekali lagi mempertemukan kita dengan Ramadhan yang dinanti-nantikan. Dikesempatan ini, janganlah kita mensia-siakan peluang yang diberikan kerana belum tentu kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Bulan Ramadhan adalah waktu untuk kita kembali menyerahkan diri dengan bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya, Ramadhan menjanjikan ganjaran yang besar bagi orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad S.A.W. ada menyatakan bulan Ramadhan sebagai:

1. Bulan Kebesaran & Keagungan
2. Bulan Keberkatan
3. Bulan Keampunan

Sabda Nabi S.A.W.:

Barang siapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu perkara Sunat pada bulan Ramadhan, ianya bersamaan dengan satu perkara Fardhu yang dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Barang siapa yang mengerjakan satu perkara Fardhu dalam bulan Ramadhan, ianya bersamaan dengan mengerjakan 70 perkara Fardhu pada bulan-bulan selainnya.


Orang yang tidak menggunakan masa dengan sebaiknya untuk beribadah disepanjang Ramadhan ini adalah orang yang benar-benar di dalam kerugian.


Sabda Rasulullah S.A.W.:

Pada bulan Ramadhan, hendaklah kamu berpuasa disiang hari manakala pada sebelah malamnya pula, hendaklah kamu hidupkanny a dengan mengerjakan perkara-perkara Sunat.


Satu lagi perkara Sunat di bulan Ramadhan yang mungkin dianggap remeh oleh kebanyakkan orang tetapi sebenarnya ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh semua umat Islam ialah... Memberi makan pada orang yang hendak berbuka puasa. Jika tidak mampu menyediakan makanan yang mewah, sebenarnya ia sudah memadai dengan sebiji Kurma atau pun air kosong. 3 kebaikan yang menanti mereka yang melaksanakan amalan sunat ini ialah:

1. Keampunan daripada dosa-dosa yang telah dia lakukan
2. Akan dilepaskan daripada azab api neraka
3. Mendapat ganjaran pahala puasa orang yang diberikan makanan berbuka puasa itu.

.

Saturday 23 July 2011

Larangan Berpuasa Sunat...



Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja menyambut Nisfu Sya'ban. Lagi beberapa hari sahaja kita akan menyambut kedatangan Ramadhan yang dinanti-nantikan. Tahukah anda tentang adanya larangan berpuasa sunat selepas daripada 15 Sya'ban.


Di Malaysia, masih ada lagi umat Islam yang mengamalkan amalan berpuasa penuh selama 3 bulan berturut-turut iaitu dari bulan Rejab, Sya'ban hinggalah Ramadhan. Amalan ini sebenarnya bertentangan dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Ini adalah berdasarkan pengakuan daripada Siti Aishah r.a. yang mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. berpuasa penuh satu bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Memang benar, Rasulullah S.A.W. banyak berpuasa sunat pada bulan Rejab. Ini adalah disebabkan Baginda menemani isteri-isteriNya yang melakukan puasa ganti pada bulan tersebut. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa puasa ganti tidak boleh disatukan dengan amalan puasa sunat 6 di bulan Syawal mahupun puasa sunat Isnin Khamis. Jika ia boleh disatukan, kenapa isteri-isteri Rasulullah S.A.W. masih melakukan puasa ganti di bulan Rejab sedangkan mereka sudah tentu ada mengamalkan puasa sunat dibulan-bulan sebelumnya.


Larangan berpuasa sunat selepas 15hb Sya'ban adalah sebagai tanda untuk kita menghormati kedatangan bulan Ramadhan, sejajar dengan pesanan Rasulullah supaya jangan kita menyambut Ramadhan sebelum 1 Ramadhan. Walaubagaimanapun, larangan ini dikecualikan kepada 3 golongan iaitu:

1. Orang yang Istiqamah berpuasa sunat Isnin Khamis sepanjang tahun

2. Orang yang Istiqamah berpuasa Nabi Daud sepanjang tahun

3. Orang yang sedang menggantikan puasa

.

Sunday 3 July 2011

Sebaik-baik Jin... Sejahat-jahat Manusia?



Kita selalu terdengar pepatah Melayu yang mengatakan "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia". Dalam sessi kuliah bersama Ust. Hadi Talha baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa statement berkenaan adalah tidak benar. Ia adalah fitnah yang dilemparkan buat makhluk berkenaan. Jin adalah makhluk seperti manusia yang diturunkan ke dunia untuk menghambakan diri kepada Allah s.w.t.. Nisbah manusia dengan jin adalah 1:90. Di dunia ini, manusia tidak dapat melihat jin dalam bentuk asal (seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran). Mereka yang mengakui diri mereka boleh melihat jin, mereka sebenarnya telah melanggar syariat Islam. Walaubagaimanapun, jin boleh dilihat oleh manusia apabila mereka menyerupai makhluk lain seperti haiwan (kebiasaanya berwarna hitam) atau manusia.

Di muka bumi ini, jin juga mempunyai tanggungjawab yang sama seperti manusia. Ada jin yang lebih beriman daripada kita dan ada juga jin yang lebih sesat daripada kita. Menurut Ustaz, sejahat-jahat jin, belum ada lagi jin yang berani mengaku diri mereka Tuhan sepertimana yang dilakukan oleh manusia jahat seperti Firaun dan Namrud. Perbezaan ketara antara jin dan manusia adalah jin dijadikan daripada api dan manusia dijadikan daripada tanah. Jin hidup di alam ghaib sementara manusia pula hidup di alam yang nyata. Sesungguhnya, Allah S.W.T. jadikan jin dan manusia adalah untuk menghambakan diri kepadaNya dan sesungguhnya, yang akan menjadi bahan bakar di dalam api neraka nanti adalah terdiri daripada Jin dan Manusia yang membuat dosa semasa hidup di muka bumi.

.

Thursday 2 June 2011

Dahaga...



Sewaktu dihimpunkan pada hari akhirat nanti, semua manusia akan berasa sangat dahaga. Ketika itulah Baginda Rasulullah S.A.W. akan datang kepada umatnya dan menjemput mereka ke telaga Nabi bagi menikmati air telaga Baginda untuk hilangkan dahaga. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa golongan orang yang akan dihalang daripada mendekati telaga ini. Orang-orang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Mereka yang meggantikan syariat Islam dengan fahaman lain dalam kehidupan mereka di atas dunia

2. Orang-orang yang Murtad

3. Orang-orang yang Zalim

4. Orang-orang yang menyekat usaha orang lain dalam menegakkan kebenaran

5. Orang-orang yang suka mengutamakan kepuasan nafsu

6. Orang-orang Munafik



Bagi orang-orang yang sentiasa meletakkan kebahagian akhirat sebagai matlamat dalam kehidupan dunia dengan cara menjalani kehidupan hanya kerana Allah S.W.T., orang-orang ini akan mendapat kebaikan seperti berikut:

1. Segala urusannya akan dipermudahkan (lancar)

2. Hatinya akan sentiasa kaya dan tenang

3. Dunia akan tunduk kepadanya 


Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri agar kita tidak akan tergolong dikalangan mereka yang akan dihalang daripada mendekati telaga Nabi pada hari akhirat nanti. Marilah sama-sama kita perbetulkan matlamat hidup kita dengan sentiasa redha dan taqwa kepada Allah S.W.T. Semoga Allah S.W.T. akan memberikan kebaikan dalam kehidupan kita di dunia dan di akhirat.
.

Wednesday 1 June 2011

Negara Islam?



Baru-baru ini, heboh dipertkatakan tentang usaha sesetengah pihak nak jadikan negara kita sebagai negara nasrani. Ramai yang tampil mempertahankan status negara kita sebagai negara Islam. Persoalanya, adakah negara kita benar-benar negara Islam. Hakikatnya, sudah hampir 54 tahun kita merdeka dan selama itulah kita masih lagi gagal menjadi sebuah negara Islam.

Antara sebab-sebab mengapa saya berkata sedemikan adalah seperti berikut:

1. Perlembagaan negara digubalkan berdasarkan fahaman Barat yang tidak belandaskan Al-Quran & Hadith

2. Islam yang diamalkan mengikut perlembagaan Barat adalah sama seperti Islam yang mengikut petunjuk nasrani

3. Rasulullah S.A.W. telah diberitahu bahawa orang-orang nasrani & yahudi akan dengar ajaran yang disampaikan daripada Al-Quran tetapi tidak akan mengamalkannya, sama sahaja seperti negara kita di mana banyak ajaran dan hukum yang telah dinyatakan dalam Al-Quran tidak diamalkan walaupun kita mengetahuinya. Sebaliknya, hukum ini digantikan dengan hukum yang diajar oleh Barat.

4. Orang-orang nasrani mengambil sebahagian daripada ajaran kitab mereka dan meninggalkan sebahagian yang lain. Seperti negara kita juga, bab Solat, Haji, Makan dan sebagainya, kita mengikut ajaran Al-Quran tetapi bab hukuman zina, judi, arak, perniagaan dan sebagainya, kita mengikut Barat walaupun perkara-perkara ini ada dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadith.


Bak kata Mufti Perak, salah satu syarat nak jadi negara Islam, negara tersebut wajib melaksanakan hukuman Hudud dan Qisas. Tetapi, apa yang terjadi pada hari ini, kita mengaku menyembah Allah tetapi dalam masa yang sama, kita secara terang-terangan menderhaka kepadaNya dengan mengangkat sistem Barat ciptaan nasrani yang dijadikan pegangan dalam kehidupan seharian. Perkara ini adalah salah, ibarat bekerja dengan Pos Malaysia tetapi gaji dibayar oleh TNB.


Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, selepas zaman Baginda, akan muncul pemimpin-pemimpin yang zalim dan suka berbohong. Barang siapa yang menyokong/mengangkat pemimpin sebegitu, dia bukan lagi umatku.

Marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha menjadikan negara kita sebagai negara Islam yang sebenar-benarnya.

Monday 30 May 2011

Hidayah Allah...

Alhamdulillah, kebelakangan ini kita dapati semakin ramai selebriti-selebriti dan orang-orang ternama di negara kita yang telah diberikan Hidayah dengan memilih jalan Allah. Antara yang terawal adalah pelakon popular di zaman 80an, Azmil Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ali Setan. Kebanyakkan daripada mereka dahulunya dibesarkan tanpa pendidikan Islam yang sempurna. Apabila mereka berpeluang mengenali Islam, Allah S.W.T. telah menurunkan hidayah ke dalam hati mereka dan terus mereka memilih jalan hidup Islam dengan meniggalkan segala perkara-perkara mungkar yang telah mereka amalkan sekian lama. Tak kurang juga ada yang dibesarkan dengan pendidikan Islam tetapi hanyut sebentar dibuai dunia glamor. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, Allah S.W.T. kembalikan hidayah ke dalam hati mereka. Antara selebriti-selebriti yang memilih jalan Islam di dalam kehidupan mereka pada hari ini adalah seperti berikut:



1. Azmil Mustapha (Ali Setan)




2. Noorkumalasari




3. Wardina Saffiyah (Sparna Jaya)





4. Mel (Wings)






5. Allahyarham Fendi (A to Z)




6. Akhil Hayy (d'riat)




7. Arnie Nazira





8. Rozita (Pengasas Sendayu Tinggi)






9. Iwan Dangdut






10. Sidi Oraza






11. Bob Lokman







12. Amir (Ruffedge)





13. Bekas anggota-anggota Ruffedge, VE dan Innuendo (Al-Mawlid)







14. Cico Harahap (Anak Uji Rashid)






15. Sham Kamikaze





Pastinya ramai lagi selebriti-selebriti dan individu-individu ternama di Malaysia (selain daripada yang disenaraikan di atas) memilih jalan Islam dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya hidayah itu adalah milik Allah. Allah S.W.T. boleh memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Harus diingat, Allah S.W.T. juga boleh mengambil balik hidayah yang telah diberikan. Kepada yang telah diberi hidayah, kita hendaklah sentiasa berdoa memohon kepadaNya agar kita terus kekal pada jalan kebenaran. Bagi yang masih belum menerimanya, kita perlu mencarinya. Hidayah tak akan datang dengan sendirinya. Adalah menjadi kewajipan untuk semua orang untuk mencari ilmu Agama dan menjadi kewajipan juga bagi orang yang berilmu untuk sebarkan setiap ilmu yang dia ada.


Apabila selebriti-selebriti ini membuat pendedahan terbuka tentang jalan baru yang mereka pilih, banyak respon negatif yang akan dilemparkan kepada mereka. Ada yang kata mereka riak, berlagak, hipokrit dan sebagainya. Ada juga yang semakin rancak memberi tawaran lumayan untuk mereka kekal di jalan kesesatan dan tak kurang juga yang memberi ugutan. Bila kita pilih jalan Allah, kita pasti akan diuji. Kesemua Nabi turut menghadapi pelbagai ujian yang jauh lebih hebat dalam usaha mereka menegakkan agama Allah. Jika Nabi dan kekasih Allah diuji... siapa pula kita? Apapun, antara kebaikan bila mereka membuat pengakuan, semoga ramai peminat-peminat mereka akan turut memilih jalan kebenaran yang telah mereka pilih. Lagipun sudah menjadi kewajipan untuk kita berdakwah dan sebarkan ajaran Islam kepada semua makhluk.

.

Segerakan Taubat...



Dalam sessi kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Hadi Talha baru-baru ini, beliau ada menyatakan tentang kepentingan kita menyegerakan taubat. Ramai manusia selalu beranggapan bahawa kita perlu menikmati usia muda kita dan mula bertaubat apabila mencapai usia tua. Anggapan ini adalah salah kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil menghadap Ilahi. Allah S.W.T. boleh sahaja mengambil nyawa kita walaupun diusia yang masih muda. Sekiranya kita berjaya mencapai usia tua, belum tentu lagi kita akan diberi hidayah sekiranya kehidupan muda kita dipenuhi dengan  perkara-perkara haram dan dosa.


Sesungguhnya, perkara yang menghalang kita daripada masuk ke syurga adalah dosa. Setiap hari, sama ada secara sedar mahupun tidak sedar, kita akan melakukan dosa. Dosa-dosa kecil yang kita lakukan dapat dihapuskan melalui Solat yang sempurna. Manakala dosa besar pula hanya dapat dihapuskan dengan cara bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Dosa yang paling ditakuti adalah dosa kita kepada insan lain. Dosa ini hanya akan terhapus dengan cara memohon maaf kepada insan berkenaan. Ramai yang melakukan dosa ini tetapi tidak ramai yang mampu memohon maaf.


Segerakanlah bertaubat dan memohon keampunan agar dosa-dosa kita dapat dihapuskan. Tanpa dosa, kita akan ditempatkan di Syurga sepertimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita selagi mana kita belum mencapai waktu nazak (penghujung nyawa) dan selagi mana matahari terbit dari Timur. Apabila matahari terbit dari barat, taubat kita tidak akan diterima lagi.


Terdapat beberapa golongan yang diberi keistimewaan untuk terus dimasukkan ke syurga. Golongan-golongan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Para Nabi dan Rasul
2. Para Syuhada (Mereka yang mati shahid dan tiada hutang yang ditinggalkan di dunia)
3. Anak-anak yang mati sebelum mecapai usia baligh (termasuk anak orang kafir)
4. Anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup

.

Saturday 28 May 2011

Kategori Solat




Amalan pertama yang akan dihisab di Padang Mahsyar nanti adalah Solat. 5 peringkat kategori Solat adalah seperti berikut:

1. Solat Si Jahil
2. Solat Si Lalai
3. Solat Separuh Lalai dan Separuh Khusyuk
4. Solat Khusyuk
5. Solat Para Nabi dan Rasul


Solat Si Jahil:
Solat yang dilakukan oleh orang yang tiada ilmu tentang Solat. Mereka tidak tahu tentang perkara-perkara rukun dan sunat dalam Solat. Solat mereka dilakukan tanpa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam syariat. Solat seperti ini bukan sahaja tidak akan diterima malahan mereka juga berdosa kerana tidak mahu mencari ilmu tentang Solat.


Solat Si Lalai:
Solat yang sempurna secara zahirnya tetapi hatinya tidak langsung berada di dalam Solat. Berbagai perkara bermain di minda sewaktu mereka berdiri, rukuk, sujud dan duduk ketika Solat. Solat seperti ini tidak akan diberikan ganjaran pahala malahan mereka akan ditempatkan di Neraka Wail di hari akhirat nanti.


Solat Separuh Lalai dan Separuh Khusyuk:
Berlaku tarik-menarik dengan syaitan ketika Solat dilaksanakan. Mereka biasanya sedar dan bila syaitan mula cuba melalaikannya dari mengingati Allah, mereka cepat-cepat kembali mengingati Allah. Begitulah yang berlaku hingga akhir Solat. Adakalanya Khusyuk dan adakalanya tidak. Solat begini tidak berdosa dan tidak berpahala. Mereka akan mendapat keampunan daripada Allah.


Solat Khusyuk:
Ingatan hanya akan tertumpu kepada Allah disepanjang Solatnya. Orang ini dapat merasakan bahawa beliau sedang menghadap Allah. Perhatiannya tetap kepada Allah. Memohon keampunan dan berdoa kepadaNya. Menghambakan diri dan mengaggungkan kebesaran Allah disepanjang Solat. Solat sebgini dapat menghapuskan dosa, memperbaharui ikrar ubudiah, menguatkan iman, mendekatkan hati kepada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Mereka akan dikurniakan pahala dan syurga di akhirat kelak.


Solat Para Nabi dan Rasul:
Solat peringkat tertinggi. Khusyuk mereka sangat luar biasa. Mereka melihat Allah dengan mata hati. Solat mereka seolah-olah mereka sedang berbual dengan Allah S.W.T. Sepertimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya, maka begitulah indahnya perasaan mereka ketika melakukan Solat.


Solat adalah salah satu ibadah yang dicintai oleh Rasullullah S.A.W. Maka tingkatkan diri dalam memperbaiki ibadah utama ini dengan memperbanyakkan solat sunat supaya kita terus mendapat bantuan Allah S.W.T. dalam bermujahadah. Lakukanlah bersungguh-sungguh untuk mendapat khusyuk. 3 petanda untuk mendapat kebahagiaan : makan benda-benda yang halal, Solat 5 waktu secara berjemaah dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.

.

Friday 6 May 2011

Hikmah Setiap Kejadian...



Dalam kuliah Dr. Azhar Yaakob baru-baru ini, beliau ada menyatakan yang setiap kejadian di muka bumi ini ada hikmah dan fungsinya tersendiri. Sekalipun bertaraf Mukhalazah, ianya tetap ada hikmahnya. Sebagai contoh, Babi atau Khinzir adalah haiwan yang bersifat membujur lalu melintang sapu... dalam erti kata lain, apa jua yang ada dihadapannya, pastinya ia akan sapu... Itulah sebab kejadian bibirnya agak tebal supaya senang ia nak makan segala tumbuhan di hadapannya. Disebabkan sifatnya begitu, maka, bagi kawasan yang ada babi, para petani perlulah memagar kawasan tanaman mereka agar tidak dimamah sang babi. Seperkara yang boleh kita belajar daripada babi, dalam banyak-banyak tanaman, ada satu tanaman yang tidak akan di makan oleh babi dan makhluk-makhluk perosak yang lain. Mereka yang mengusahakan tanaman tersebut tidak perlu beberlanja untuk memasang pagar sebagai langkah perlindungan. Tanaman yang dimaksudkan adalah... "tembakau". Secara tidak langusng, ianya menggambarkan bahawa tembakau tidaklah elok untuk manusia.

.

Sunday 24 April 2011

Islam, Iman Dan Taqwa...


.
Kita selalu dengar orang menyebut perkataan Islam, Iman dan Taqwa. Persoalannya, adakah kita benar-benar faham makna ketiga-tiga perkataan tersebut?

.
ISLAM

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. melalui perutusanNya, Baginda Rasulullah S.A.W. Agama inilah yang sepatutnya menjadi panduan kepada seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan dimuka bumi ini. Panduan tentang apa yang patut manusia lakukan dari hari beliau dilahirkan sehinggalah beliau kembali, semuanya ada diterangkan melalui Al-Quran dan Hadith Baginda Rasulullah S.A.W. Penerangan tentang kejadian alam, makhluk, sejarah kaum-kaum terdahulu, kejadian masa hadapan, alam kubur, alam akhirat dan sebagainya, semuanya ada diterangkan dalam ajaran Islam. Islam bukan hanya sekadar catatan nama Agama kita di dalam I.C. mahupun Agama yang diwarisi daripada ibubapa kita. Untuk seseorang itu layak menggelarkan dirinya Islam, beliau mestilah menepati 5 rukun Islam yang menjadi perkara asas yang wajib dilaksanakan oleh seseorang Muslim:


1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah
2. Mendirikan Solat (5 Waktu Sehari)
3. Berpuasa dibulan Ramadhan
4. Mengeluarkan Zakat
5. Menunaikan Fardhu Haji Di Mekah (sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan) 


Kelima-lima perkara ini adalah menjadi kewajipan yang perlu kita laksanakan untuk mejadi seorang Muslim. Ianya diwajibkan ke atas kita apabila kita mencapai usia akhil baligh. Meninggalkan perkara-perkara berkenaan akan menjadikan taraf kita sama seperti orang kafir. Pada hari ini, ramai yang menganggap perkara-perkara ini sebagai remeh, hakikatnya, inilah sebenarnya perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang umat Islam. Harus diingat, kewajipan kita untuk melaksanakan 5 perkara ini telah ditetapkan sebaik sahaja kita mencapai usia akhil baligh. Jika kita meninggalkan perkara-perkara ini sehinggalah kita bertaubat pada usia 40 (misalnya), adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggantikan (Qadar) semula kesemua amalan-amalan yang telah kita tinggalkan. Persoalannya, apakah kita mampu untuk meggantikannya? Walaubagaimanapun, kewajipan Qadar ini hanya terletak kepada mereka yang lahir sebagai Islam, tidak bagi mereka yang baru memeluk Agama Islam. Bagi ibubapa sekalian, jika anda benar-benar sayangkan anak-anak anda, pastikanlah mereka dapat menjaga kelima-lima perkara dalam rukun Islam ini dari zaman kanak-kanak lagi.

bersambung.....

Thursday 21 April 2011

Mencari Keredhaan Allah...



.
Dlm sessi kuliah yang sempat saya hadiri baru-baru ini, Ustaz berpesan, hidup kita ini ibarat menaiki kapal terbang. Dari hari ke sehari, kita akan terus berusaha untuk mempertingkatkan diri kita (ibarat kapal terbang yang baru berlepas ke udara). Semasa kita sedang terbang ke udara, kita perlulah sentiasa memandang ke bawah (perlu selalu ingat asal-usul kita dan selalu membantu orang-orang yang tidak bernasib baik seperti kita). Janganlah kita terlalu asyik dibuai semasa berada di atas. Sentiasalah ingat keadaan di bawah agar kita tidak terkejut apabila Allah S.W.T. takdirkan kita jatuh nanti.

.
Kita tidaklah boleh berasa bangga mahupun kecewa dengan apa yang kita ada. Setiap perkara yang kita miliki dalam dunia ini bukanlah hak kita tetapi sekadar pinjaman yang diberi oleh Allah S.W.T. Baik harta, keluarga, ilmu malah segala-galanya semuanya kita miliki atas ehsan daripada Allah S.W.T. Sama ada banyak atau sedikit yang kita terima, semuanya telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dan kita mestilah sentiasa berusaha dan redha dengan ketentuanNya. Untuk kita mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T. maka kita perlulah redha dengan apa yang Allah beri kepada kita.

.
Tips untuk sentiasa berasa redha: 

Untuk soal kekayaan dan kehidupan duniawi, kita hendaklah selalu bandingkan diri kita dengan mereka yang lebih susah daripada kita manakala untuk soal beribadat kepada Allah pula, kita perlu selalu bandingkan diri kita dengan mereka yang jauh lebih hebat daripada kita.

.
Terdapat satu kisah berkenaan seekor keldai yang terjatuh di dalam perigi buta. Selepas tuannya menyedari keldainya telah terjatuh di dalam perigi tersebut, tuannya berusaha menyelamatkannya tetapi gagal. Kerana telah berputus asa, tuannya bercadang untuk membunuh keldai tersebut dengan mengambus sahaja perigi berkenaan. Sedang si tuannya ini menyodok tanah masuk ke perigi, sang keldai yang menyedari niat tuannya itu pun menggoyangkan badannya hingga tanah jatuh ke bawah lalu ia memanjat tanah tersebut. Pergerakan tersebut diteruskan sehinggalah perigi tersebut tertimbus dan keldai itu berjaya keluar dengan selamat. Moral daripada kisah ini, sekiranya kita berjaya menghadapi sesuatu ujian dengan sabar dan redha, akhirnya pasti kita akan berjaya.

.
Seperkara lagi yang sempat diingatkan oleh Ustaz, adalah menjadi kesalahan bagi kedua ibubapa mengeluh bila mereka menyediakan keperluan asas untuk anak-anak mereka. Perkara ini selalu terjadi dalam masyarakat di mana kita selalu mendengar keluhan ibubapa "susah betullah, 2 minggu sekali nak kena beli pampers anak.... susu anak... harga pun dah mahal.. bla bla bla..." Yang sebenar-benarnya, untung nasib seseorang telah ditentukan oleh Allah sewaktu  40/100 hari (Kilaf Ulama') beliau berada dalam kandungan ibu. Ianya termasuklah soal rezeki, jodoh mahupun ajal. Ibubapa hanyalah sekadar perantara rezeki yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Perlu diingatkan, setiap orang dah ada rezeki yang telah ditentukan. Maka tak perlulah kita merasakan wang kita habis kerana nak penuhi keperluan anak kita kerana itu sudah memang hak mereka yang diamanahkan kepada kita untuk memenuhinya.

.

Monday 18 April 2011

Nafsu...




Terdapat seketul daging dalam diri tiap-tiap manusia yang mana jika suci daging tersebut maka baiklah seluruh jasad dan sebaliknya, jika kotor daging tersebut, maka akan jadi jahatlah insan berkenaan. Daging tersebut adalah daging yang dikenali sebagai hati. Di dalam hati, ada nafsu. Adalah sudah menjadi fitrah di mana nafsu akan cenderung kepada perkara-perkara yang jahat. Maka nafsu ini perlulah dikawal dengan baik agar kita akan ditempatkan ke syurga pada hari akhirat kelak. Berikut adalah 3 strategi untuk mengawal nafsu agar dijauhi daripada melakukan perkara-perkara jahat:

1. Berpuasa
2. Mendidik nafsu melalui Ibadah seperti Solat-solat Sunat, berzikir, membaca Al-Quran dan bersedekah
3. Berdoa kepada Allah agar kita mampu melawan/mengawal nafsu

Menutup Aib Orang...




Pasti ada yang pernah menghadapi situasi di mana, apabila seseorang itu hendak dilantik memegang jawatan yang berkaitan dgn kebaikan/kebajikan, kemudiannya, akan ada yang membakang dengan alasan bahawa individu tersebut tidak layak untuk jawatan tersebut kerana kejahilan dan kejahatan yang pernah beliau lakukan di zaman silam.

.
Dalam Islam, sekiranya seseorang itu telah bertaubat, maka, menjadi kewajipan kepada kita untuk menutup aib beliau. Walaubagaimanapun, sekiranya individu itu masih tidak bertaubat, maka dibolehkan untuk kita (dlm situasi tertentu) mendedahkan kejahatan beliau dengan tujuan untuk menghindari kemudaratan (untuk kabaikan) masyarakat.

.
Jika kita menutup aib orang-orang yang telah bertaubat di atas dunia, Insya Allah, dihari akhirat nanti, Allah S.W.T. akan menutup aib kita. Kita juga ditegah menceritakan aib sendiri kepada orang lain. Allah S.W.T. akan mengampuni dosa umatNya kecuali mereka yang 'Mujahirin' iaitu orang yang suka menceritakan kejahatan yang mereka lakukan walaupun Allah telah menutup aibnya. Seperkara lagi, kita tidak boleh menghina orang-orang yang pernah melakukan kesalahan sekiranya mereka telah dihukum mengikut hukuman Islam. Perkara ini telah dibuktikan di zaman Rasulullah di mana Baginda sendiri telah mengimamkan solat jenazah buat kenalanNya yang telah mati akibat dihukum rejam kerana berzina.

.

Friday 15 April 2011

Undang-undang Jenayah Islam



Secara ringkas, undang-undang Jenayah Islam terbahagi kepada 3 bahagian:

a. Hudud
b. Qisas
c. Ta'zir

.
a. Hudud : Jenis hukuman telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dan digunakan untuk 7 jenis kesalahan berikut:

1. Mencuri
2. Merompak
3. Berzina
4. Memfitnah Orang Berzina
5. Meminum Arak
6. Murtad
7. Menderhaka Kepada Kerajaan Islam


.
b. Qisas : Hukumannya juga telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dan digunakan untuk 2 kesalahan berikut:

1. Membunuh
2. Mencederakan Orang



.
c. Ta'zir : Hukuman untuk kesalahan-kesalahan lain selain drp kesalahan dalam Hudud dan Qisas. Ditentukan oleh manusia contohnya hukuman melanggar lampu isyarat.

.

Thursday 14 April 2011

Adab2 Menghadiri Solat Jumaat


.
Solat Jumaat adalah merupakan perhimpunan besar mingguan buat umat Islam. Adalah menjadi kewajipan kepada semua Muslimin untuk menghadirkan diri ke perhimpunan agong ini. Hari Jumaat merupakan hari yang dianggap lebih mulia daripada hari raya Aidiladha mahupun Aidilfitri. Pada hari inilah kita berpeluang melipatkali gandakan pahala amalan kita. Antara perkara-perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W., untuk kita amalkan sebelum menghadiri perhimpunan ini adalah seperti berikut:


1. Mandi (Sunat Muakkad) - berniat mandi sunat Jumaat
2. Membersihkan diri (cth bersugi) dan memakai wangi-wangian
3. Memakai pakaian terbaik (warna putih utk Jemaah dan warna hitam utk imam)
4. Kemaskan segala rambut dan bulu-bulu serta momotong/membersihkan kuku
5. Datang awal ke Masjid (niat beriktikaf dan solat sunat)

.
Mandi sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat Malaysia. Tetapi tidak bagi masyarakat di Arab. Disebabkan faktor cuaca, tidak menjadi masalah bagi masyarakat Arab untuk tidak mandi walaupun selama 3 hari. Salah satu sebab mengapa disunatkan suami isteri untuk bersama pada malam Jumaat adalah bagi memastikan mereka mandi pada pagi Jumaat. Dalam bab memakai wangi-wangian pula, ada diantara masyarakat yang masih keliru tentang status halal haram pewangi beralkohol. Untuk makluman, majlis Fatwa telah menyatakan bahawa penwangi beralkohol boleh dipakai untuk bersolat. Alkohol pada wangian adalah methanol manakala alkohol pada arak adalah ethanol. Ethanol haram kerana memabukkan bila diminum.

.
Memakai pakaian terbaik berwarna putih adalah kerana bila warna putih, kita akan mudah mengesan jika ada sebarang kekotoran. Berkenaan datang awal ke Masjid, jika kita datang awal dalam keadaan bersih, berjalan kaki, niat beriktikaf, tidak tidur dan focus dengan amalan dan Khutbah, maka ganjaran pahala adalah sama seperti setahun qiyam dan puasa.

Wednesday 13 April 2011

Islamkah Kita???




Dalam sessi kuliah Zohor yang saya hadiri baru-baru ini, Ustaz berbicara berkenaan isu sudah cukup Islamkah kita dengan hanya mengamalkan Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Jawapannya, sudah tentulah tidak. Solat, Puasa, Zakat dan Haji adalah hanya sebahagian perkara yang wajib diamalkan oleh umat Islam yang dikategorikan sebagai Ibadah. Keempat-empat perkara tersebut juga merupakan rukun Islam yang sememangnya tidak boleh ditinggalkan oleh individu yang mengakui dirinya Islam.

.
Ajaran Islam merangkumi semua aspek di dalam kehidupan manusia. Dari saat seseorang itu dilahirkan, sehinggalah beliau dikebumikan, semua perkara bagaimana hendak menghadapinya ada dipandukan di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W. Kita akan menjadi Islam apabila kita mengamalkan semua ajaran Islam dan meninggalkan segala larangan yang di ajar di dalam Al-Quran dan Hadith tersebut. Keseluruhan cara hidup perlulah berlandaskan ajaran Islam baik dalam bab Ibadah, Muamalat, Perundangan, Kepimpinan dan sebagainya. Marilah kita merenung kembali kehidupan kita dan sama-sama memperbaikinya agar kita menjadi umat Islam yang benar-benar Islam.

Monday 11 April 2011

Muflis...



Di atas dunia ini, apabila seseorang itu berhutang dan beliau sudah tidak mampu lagi menjelaskan hutang tersebut, maka dia akan dianggap sebagai muflis. Berbeza pula dengan pengertian muflis pada hari akhirat menurut Rasulullah S.A.W.

.
Muflis pada hari akhirat nanti akan belaku apabila seseorang itu sudah kehabisan 3 pahala yang diamalkan semasa hayatnya disebabkan oleh tuntutan yang dibuat oleh mangsa-mangsa daripada dosa-dosa yang telah dilakukannya di atas muka bumi dahulu. Kesemua dosa-dosa tersebut adalah dosa yang dilakukan ke atas insan yang lain yang mana ianya hanya boleh diselesaikan apabila insan tersebut memaafkan kita.

.
3 pahala Ibadah yang dimaksudkan:

1. Solat
2. Puasa
3. Zakat

.
Antara dosa-dosa yang dimaksudkan:

1. Memaki hamun orang
2. Memfitnah orang
3. Memakan harta yang tidak hak
4. Memukul/mencederakan orang

.
Marilah kita muhasabah diri masing-masing dan elakkanlah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti orang lain. Semoga segala amalan dan ibadah yang kita laksanakan terus kekal menjadi milik kita agar dapat membantu kita menuju ke syurga nanti. Insya Allah.

.

Saturday 9 April 2011

Selamat Datang ke Caliph of Kampung Boyan

Assalammualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi di atas limpah kurniaNya, maka terbinalah laman Caliph of Kampung Boyan pada hari ini. Berkat ilham yang diberikanNya dan perbincangan dengan saudara Nazmi Faisal Mohammad Zaini, semangat untuk mewujudkan laman ini akhirnya berjaya direalisasikan.


.
Sewaktu kita semakin hampir dengan akhir zaman, cabaran yang perlu dihadapi dalam menjalani kehidupan seharian menjadi semakin hebat. Perkara ini memang jelas terpampang di media-media massa, media elektronik mahupun pengalaman diri sendiri. Memandangkan setiap daripada kita merupakan Khaliffah Allah di muka bumi ini, kita telah dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangan/tanggungjawab para Nabi dan Rasul untuk memastikan syariat dan syiar Islam terus diamalkan dan diperkembangkan oleh umat manusia sehinggalah ke hari kiamat. Wujudnya Caliph of Kampung Boyan ini adalah merupakan salah satu cabang usaha kami bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.


.
Fokus utama kami adalah kepada para belia/pemuda Kampung Boyan. Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk sama-sama membentuk dan membimbing para belia Kampung kami agar tidak terus hanyut dengan corak kehidupan sosial ala masyarakat jahiliah ciptaan barat yang semakin menjadi ikutan dan kebanggan masyarakat kita pada hari ini. Semoga Caliph of Kampung Boyan ini mampu menjadi platform untuk para pemuda Kampung Boyan bersatu dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sosial berteraskan ajaran Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.


.
Buat para pemuda Kampung Boyan, jadikanlah Caliph of Kampung Boyan ini sebagai pusat aktiviti sosial & kemasyarakatan, medan perkongsian ilmu, perbincangan & sumber rujukan, serta platform untuk kita menjalankan amal kebajikan untuk masyarakat di Kampung Boyan. Semoga usaha murni kita ini akan diredhai dan diberkati Allah S.W.T.  Amin Ya Rabbal Aalamin....

.