Friday 19 August 2011

Peluang Keemasan Di Bulan Ramadhan...


Ramadhan adalah waktu keemasan atau bonus kepada orang-orang yang beriman. Selepas 11 bulan menjalani kehidupan dengan dosa-dosa... sebulan pada bulan Ramadhan ini adalah waktu untuk kita membersihkan hati kita dengan memperbanyakkan ibadah dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.

Sesungguhnya, barang siapa yang berdiri malam (Solat Sunat) pada bulan Ramadhan, Allah S.W.T. akan ampunkan dosa. Amalan Solat Sunat khas yang disarankan pada bulan Ramdahan adalah Solat Sunat Tarawih yang hukumnya adalah Sunat Mua'akad yakni perkara sunat yang sangat-sangat digalakkan. Amalan ini adalah peluang keemasan bagi mendapatkan keampunan, kerahmatan dan pembebasan daripada azab neraka.

Lailatul Qadar, malam istimewa yang lebih baik daripada 1000 bulan, pasti akan bertemu mereka-mereka yang beriman pada suatu malam dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Sesiapa yang qiam pada malam Lailatul Qadar, Allah S.W.T. akan ampunkan dosa-dosa yang telah lalu.

Kata Jibrail kepada Rasulullah S.A.W., barang siapa yang dapat betemu dengan Ramdhan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah S.W.T., beliau akan dihumbankan ke Neraka.

Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan, Syurga Rayyan pasti akan menanti mereka.

Pada bulan Ramadhan, Syaitan-syaitan akan dibelenggu. Walaubagaimanpun, masih ramai lagi manusia yang membuat maksiat pada bulan yang mulia ini. Ini adalah kerana mereka telah tertewas dengan godaan nafsu mereka sendiri.

Bagi mereka yang berpuasa tetapi tidak bersolat, sesungguhnya, puasa mereka tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Orang yang meninggalkan Solat dengan sengaja adalah orang yang dianggap kafir secara terang-terangan. Allah S.W.T. tidak akan menerima amalan-amalan yang dikerjakan oleh orang-orang kafir.

Renung-renungkanlah....

.

Membaca Al-Quran



Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang diturunkan kepada Nabi junjungan kita Muhammad S.A.W. Ianya diturunkan sebagai panduan kepada seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat. Kewajipan mentaati ajaran Al-Quran menjadi salah satu rukun di dalam rukun Iman.

Dalam kuliah Zohor Dr. Azhar Yaakob baru-baru ini, beliau ada menyatakan tentang kewajipan membaca Al-Quran sebenarnya bukanlah hanya sekadar bertadarus di bulan Ramadhan sahaja. Umat Islam perlu berusaha untuk menghafaz Al-Quran. Tips mudah yang disarankan oleh beliau adalah dengan menhafaz 1 ayat Al-Quran untuk 1 hari. Kaedah yang sama ini turut mula diamalkan oleh saudara-saudara kita di Indonesia yang mana mereka menyimpan matlamat untuk mempunyai seorang Presiden yang hafaz Al-Quran satu hari nanti.

Allah S.W.T. telah menjadikan Al-Quran sebagai sesuatu yang mudah untuk diingati (hafazan). Maka setiap hari, kita perlu memperuntukkan masa untuk membaca Al-Quran. Kita perlu memandang Al-Quran dengan mata hati kita dan bukannya dengan mata zahir mahupun nafsu. Jika kita tidak ada masa untuk Al-Quran, kelak Al-Quran tidak akan meluangkan masa untuk kita dihari akhirat nanti. Sesungguhnya, Al-Quran akan memberi syafa'at kepada mereka yang membacaNya untuk dimasukkan ke syurga pada hari pembalasan. Peruntukkanlah masa kita untuk Al-Quran setiap hari sementara masih ada kesempatan.

.

Tuesday 2 August 2011

Selamat Kembali Ramadhan...



Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah S.W.T. kerana sekali lagi mempertemukan kita dengan Ramadhan yang dinanti-nantikan. Dikesempatan ini, janganlah kita mensia-siakan peluang yang diberikan kerana belum tentu kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Bulan Ramadhan adalah waktu untuk kita kembali menyerahkan diri dengan bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya, Ramadhan menjanjikan ganjaran yang besar bagi orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad S.A.W. ada menyatakan bulan Ramadhan sebagai:

1. Bulan Kebesaran & Keagungan
2. Bulan Keberkatan
3. Bulan Keampunan

Sabda Nabi S.A.W.:

Barang siapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu perkara Sunat pada bulan Ramadhan, ianya bersamaan dengan satu perkara Fardhu yang dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Barang siapa yang mengerjakan satu perkara Fardhu dalam bulan Ramadhan, ianya bersamaan dengan mengerjakan 70 perkara Fardhu pada bulan-bulan selainnya.


Orang yang tidak menggunakan masa dengan sebaiknya untuk beribadah disepanjang Ramadhan ini adalah orang yang benar-benar di dalam kerugian.


Sabda Rasulullah S.A.W.:

Pada bulan Ramadhan, hendaklah kamu berpuasa disiang hari manakala pada sebelah malamnya pula, hendaklah kamu hidupkanny a dengan mengerjakan perkara-perkara Sunat.


Satu lagi perkara Sunat di bulan Ramadhan yang mungkin dianggap remeh oleh kebanyakkan orang tetapi sebenarnya ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh semua umat Islam ialah... Memberi makan pada orang yang hendak berbuka puasa. Jika tidak mampu menyediakan makanan yang mewah, sebenarnya ia sudah memadai dengan sebiji Kurma atau pun air kosong. 3 kebaikan yang menanti mereka yang melaksanakan amalan sunat ini ialah:

1. Keampunan daripada dosa-dosa yang telah dia lakukan
2. Akan dilepaskan daripada azab api neraka
3. Mendapat ganjaran pahala puasa orang yang diberikan makanan berbuka puasa itu.

.