Saturday 28 May 2011

Kategori Solat




Amalan pertama yang akan dihisab di Padang Mahsyar nanti adalah Solat. 5 peringkat kategori Solat adalah seperti berikut:

1. Solat Si Jahil
2. Solat Si Lalai
3. Solat Separuh Lalai dan Separuh Khusyuk
4. Solat Khusyuk
5. Solat Para Nabi dan Rasul


Solat Si Jahil:
Solat yang dilakukan oleh orang yang tiada ilmu tentang Solat. Mereka tidak tahu tentang perkara-perkara rukun dan sunat dalam Solat. Solat mereka dilakukan tanpa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam syariat. Solat seperti ini bukan sahaja tidak akan diterima malahan mereka juga berdosa kerana tidak mahu mencari ilmu tentang Solat.


Solat Si Lalai:
Solat yang sempurna secara zahirnya tetapi hatinya tidak langsung berada di dalam Solat. Berbagai perkara bermain di minda sewaktu mereka berdiri, rukuk, sujud dan duduk ketika Solat. Solat seperti ini tidak akan diberikan ganjaran pahala malahan mereka akan ditempatkan di Neraka Wail di hari akhirat nanti.


Solat Separuh Lalai dan Separuh Khusyuk:
Berlaku tarik-menarik dengan syaitan ketika Solat dilaksanakan. Mereka biasanya sedar dan bila syaitan mula cuba melalaikannya dari mengingati Allah, mereka cepat-cepat kembali mengingati Allah. Begitulah yang berlaku hingga akhir Solat. Adakalanya Khusyuk dan adakalanya tidak. Solat begini tidak berdosa dan tidak berpahala. Mereka akan mendapat keampunan daripada Allah.


Solat Khusyuk:
Ingatan hanya akan tertumpu kepada Allah disepanjang Solatnya. Orang ini dapat merasakan bahawa beliau sedang menghadap Allah. Perhatiannya tetap kepada Allah. Memohon keampunan dan berdoa kepadaNya. Menghambakan diri dan mengaggungkan kebesaran Allah disepanjang Solat. Solat sebgini dapat menghapuskan dosa, memperbaharui ikrar ubudiah, menguatkan iman, mendekatkan hati kepada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Mereka akan dikurniakan pahala dan syurga di akhirat kelak.


Solat Para Nabi dan Rasul:
Solat peringkat tertinggi. Khusyuk mereka sangat luar biasa. Mereka melihat Allah dengan mata hati. Solat mereka seolah-olah mereka sedang berbual dengan Allah S.W.T. Sepertimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya, maka begitulah indahnya perasaan mereka ketika melakukan Solat.


Solat adalah salah satu ibadah yang dicintai oleh Rasullullah S.A.W. Maka tingkatkan diri dalam memperbaiki ibadah utama ini dengan memperbanyakkan solat sunat supaya kita terus mendapat bantuan Allah S.W.T. dalam bermujahadah. Lakukanlah bersungguh-sungguh untuk mendapat khusyuk. 3 petanda untuk mendapat kebahagiaan : makan benda-benda yang halal, Solat 5 waktu secara berjemaah dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.

.

No comments:

Post a Comment