Monday 30 May 2011

Segerakan Taubat...



Dalam sessi kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Hadi Talha baru-baru ini, beliau ada menyatakan tentang kepentingan kita menyegerakan taubat. Ramai manusia selalu beranggapan bahawa kita perlu menikmati usia muda kita dan mula bertaubat apabila mencapai usia tua. Anggapan ini adalah salah kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil menghadap Ilahi. Allah S.W.T. boleh sahaja mengambil nyawa kita walaupun diusia yang masih muda. Sekiranya kita berjaya mencapai usia tua, belum tentu lagi kita akan diberi hidayah sekiranya kehidupan muda kita dipenuhi dengan  perkara-perkara haram dan dosa.


Sesungguhnya, perkara yang menghalang kita daripada masuk ke syurga adalah dosa. Setiap hari, sama ada secara sedar mahupun tidak sedar, kita akan melakukan dosa. Dosa-dosa kecil yang kita lakukan dapat dihapuskan melalui Solat yang sempurna. Manakala dosa besar pula hanya dapat dihapuskan dengan cara bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Dosa yang paling ditakuti adalah dosa kita kepada insan lain. Dosa ini hanya akan terhapus dengan cara memohon maaf kepada insan berkenaan. Ramai yang melakukan dosa ini tetapi tidak ramai yang mampu memohon maaf.


Segerakanlah bertaubat dan memohon keampunan agar dosa-dosa kita dapat dihapuskan. Tanpa dosa, kita akan ditempatkan di Syurga sepertimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita selagi mana kita belum mencapai waktu nazak (penghujung nyawa) dan selagi mana matahari terbit dari Timur. Apabila matahari terbit dari barat, taubat kita tidak akan diterima lagi.


Terdapat beberapa golongan yang diberi keistimewaan untuk terus dimasukkan ke syurga. Golongan-golongan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Para Nabi dan Rasul
2. Para Syuhada (Mereka yang mati shahid dan tiada hutang yang ditinggalkan di dunia)
3. Anak-anak yang mati sebelum mecapai usia baligh (termasuk anak orang kafir)
4. Anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup

.

No comments:

Post a Comment