Saturday 23 July 2011

Larangan Berpuasa Sunat...



Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja menyambut Nisfu Sya'ban. Lagi beberapa hari sahaja kita akan menyambut kedatangan Ramadhan yang dinanti-nantikan. Tahukah anda tentang adanya larangan berpuasa sunat selepas daripada 15 Sya'ban.


Di Malaysia, masih ada lagi umat Islam yang mengamalkan amalan berpuasa penuh selama 3 bulan berturut-turut iaitu dari bulan Rejab, Sya'ban hinggalah Ramadhan. Amalan ini sebenarnya bertentangan dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Ini adalah berdasarkan pengakuan daripada Siti Aishah r.a. yang mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. berpuasa penuh satu bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Memang benar, Rasulullah S.A.W. banyak berpuasa sunat pada bulan Rejab. Ini adalah disebabkan Baginda menemani isteri-isteriNya yang melakukan puasa ganti pada bulan tersebut. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa puasa ganti tidak boleh disatukan dengan amalan puasa sunat 6 di bulan Syawal mahupun puasa sunat Isnin Khamis. Jika ia boleh disatukan, kenapa isteri-isteri Rasulullah S.A.W. masih melakukan puasa ganti di bulan Rejab sedangkan mereka sudah tentu ada mengamalkan puasa sunat dibulan-bulan sebelumnya.


Larangan berpuasa sunat selepas 15hb Sya'ban adalah sebagai tanda untuk kita menghormati kedatangan bulan Ramadhan, sejajar dengan pesanan Rasulullah supaya jangan kita menyambut Ramadhan sebelum 1 Ramadhan. Walaubagaimanapun, larangan ini dikecualikan kepada 3 golongan iaitu:

1. Orang yang Istiqamah berpuasa sunat Isnin Khamis sepanjang tahun

2. Orang yang Istiqamah berpuasa Nabi Daud sepanjang tahun

3. Orang yang sedang menggantikan puasa

.

Sunday 3 July 2011

Sebaik-baik Jin... Sejahat-jahat Manusia?



Kita selalu terdengar pepatah Melayu yang mengatakan "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia". Dalam sessi kuliah bersama Ust. Hadi Talha baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa statement berkenaan adalah tidak benar. Ia adalah fitnah yang dilemparkan buat makhluk berkenaan. Jin adalah makhluk seperti manusia yang diturunkan ke dunia untuk menghambakan diri kepada Allah s.w.t.. Nisbah manusia dengan jin adalah 1:90. Di dunia ini, manusia tidak dapat melihat jin dalam bentuk asal (seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran). Mereka yang mengakui diri mereka boleh melihat jin, mereka sebenarnya telah melanggar syariat Islam. Walaubagaimanapun, jin boleh dilihat oleh manusia apabila mereka menyerupai makhluk lain seperti haiwan (kebiasaanya berwarna hitam) atau manusia.

Di muka bumi ini, jin juga mempunyai tanggungjawab yang sama seperti manusia. Ada jin yang lebih beriman daripada kita dan ada juga jin yang lebih sesat daripada kita. Menurut Ustaz, sejahat-jahat jin, belum ada lagi jin yang berani mengaku diri mereka Tuhan sepertimana yang dilakukan oleh manusia jahat seperti Firaun dan Namrud. Perbezaan ketara antara jin dan manusia adalah jin dijadikan daripada api dan manusia dijadikan daripada tanah. Jin hidup di alam ghaib sementara manusia pula hidup di alam yang nyata. Sesungguhnya, Allah S.W.T. jadikan jin dan manusia adalah untuk menghambakan diri kepadaNya dan sesungguhnya, yang akan menjadi bahan bakar di dalam api neraka nanti adalah terdiri daripada Jin dan Manusia yang membuat dosa semasa hidup di muka bumi.

.