Sunday 24 April 2011

Islam, Iman Dan Taqwa...


.
Kita selalu dengar orang menyebut perkataan Islam, Iman dan Taqwa. Persoalannya, adakah kita benar-benar faham makna ketiga-tiga perkataan tersebut?

.
ISLAM

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. melalui perutusanNya, Baginda Rasulullah S.A.W. Agama inilah yang sepatutnya menjadi panduan kepada seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan dimuka bumi ini. Panduan tentang apa yang patut manusia lakukan dari hari beliau dilahirkan sehinggalah beliau kembali, semuanya ada diterangkan melalui Al-Quran dan Hadith Baginda Rasulullah S.A.W. Penerangan tentang kejadian alam, makhluk, sejarah kaum-kaum terdahulu, kejadian masa hadapan, alam kubur, alam akhirat dan sebagainya, semuanya ada diterangkan dalam ajaran Islam. Islam bukan hanya sekadar catatan nama Agama kita di dalam I.C. mahupun Agama yang diwarisi daripada ibubapa kita. Untuk seseorang itu layak menggelarkan dirinya Islam, beliau mestilah menepati 5 rukun Islam yang menjadi perkara asas yang wajib dilaksanakan oleh seseorang Muslim:


1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah
2. Mendirikan Solat (5 Waktu Sehari)
3. Berpuasa dibulan Ramadhan
4. Mengeluarkan Zakat
5. Menunaikan Fardhu Haji Di Mekah (sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan) 


Kelima-lima perkara ini adalah menjadi kewajipan yang perlu kita laksanakan untuk mejadi seorang Muslim. Ianya diwajibkan ke atas kita apabila kita mencapai usia akhil baligh. Meninggalkan perkara-perkara berkenaan akan menjadikan taraf kita sama seperti orang kafir. Pada hari ini, ramai yang menganggap perkara-perkara ini sebagai remeh, hakikatnya, inilah sebenarnya perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang umat Islam. Harus diingat, kewajipan kita untuk melaksanakan 5 perkara ini telah ditetapkan sebaik sahaja kita mencapai usia akhil baligh. Jika kita meninggalkan perkara-perkara ini sehinggalah kita bertaubat pada usia 40 (misalnya), adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggantikan (Qadar) semula kesemua amalan-amalan yang telah kita tinggalkan. Persoalannya, apakah kita mampu untuk meggantikannya? Walaubagaimanapun, kewajipan Qadar ini hanya terletak kepada mereka yang lahir sebagai Islam, tidak bagi mereka yang baru memeluk Agama Islam. Bagi ibubapa sekalian, jika anda benar-benar sayangkan anak-anak anda, pastikanlah mereka dapat menjaga kelima-lima perkara dalam rukun Islam ini dari zaman kanak-kanak lagi.

bersambung.....

Thursday 21 April 2011

Mencari Keredhaan Allah...



.
Dlm sessi kuliah yang sempat saya hadiri baru-baru ini, Ustaz berpesan, hidup kita ini ibarat menaiki kapal terbang. Dari hari ke sehari, kita akan terus berusaha untuk mempertingkatkan diri kita (ibarat kapal terbang yang baru berlepas ke udara). Semasa kita sedang terbang ke udara, kita perlulah sentiasa memandang ke bawah (perlu selalu ingat asal-usul kita dan selalu membantu orang-orang yang tidak bernasib baik seperti kita). Janganlah kita terlalu asyik dibuai semasa berada di atas. Sentiasalah ingat keadaan di bawah agar kita tidak terkejut apabila Allah S.W.T. takdirkan kita jatuh nanti.

.
Kita tidaklah boleh berasa bangga mahupun kecewa dengan apa yang kita ada. Setiap perkara yang kita miliki dalam dunia ini bukanlah hak kita tetapi sekadar pinjaman yang diberi oleh Allah S.W.T. Baik harta, keluarga, ilmu malah segala-galanya semuanya kita miliki atas ehsan daripada Allah S.W.T. Sama ada banyak atau sedikit yang kita terima, semuanya telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dan kita mestilah sentiasa berusaha dan redha dengan ketentuanNya. Untuk kita mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T. maka kita perlulah redha dengan apa yang Allah beri kepada kita.

.
Tips untuk sentiasa berasa redha: 

Untuk soal kekayaan dan kehidupan duniawi, kita hendaklah selalu bandingkan diri kita dengan mereka yang lebih susah daripada kita manakala untuk soal beribadat kepada Allah pula, kita perlu selalu bandingkan diri kita dengan mereka yang jauh lebih hebat daripada kita.

.
Terdapat satu kisah berkenaan seekor keldai yang terjatuh di dalam perigi buta. Selepas tuannya menyedari keldainya telah terjatuh di dalam perigi tersebut, tuannya berusaha menyelamatkannya tetapi gagal. Kerana telah berputus asa, tuannya bercadang untuk membunuh keldai tersebut dengan mengambus sahaja perigi berkenaan. Sedang si tuannya ini menyodok tanah masuk ke perigi, sang keldai yang menyedari niat tuannya itu pun menggoyangkan badannya hingga tanah jatuh ke bawah lalu ia memanjat tanah tersebut. Pergerakan tersebut diteruskan sehinggalah perigi tersebut tertimbus dan keldai itu berjaya keluar dengan selamat. Moral daripada kisah ini, sekiranya kita berjaya menghadapi sesuatu ujian dengan sabar dan redha, akhirnya pasti kita akan berjaya.

.
Seperkara lagi yang sempat diingatkan oleh Ustaz, adalah menjadi kesalahan bagi kedua ibubapa mengeluh bila mereka menyediakan keperluan asas untuk anak-anak mereka. Perkara ini selalu terjadi dalam masyarakat di mana kita selalu mendengar keluhan ibubapa "susah betullah, 2 minggu sekali nak kena beli pampers anak.... susu anak... harga pun dah mahal.. bla bla bla..." Yang sebenar-benarnya, untung nasib seseorang telah ditentukan oleh Allah sewaktu  40/100 hari (Kilaf Ulama') beliau berada dalam kandungan ibu. Ianya termasuklah soal rezeki, jodoh mahupun ajal. Ibubapa hanyalah sekadar perantara rezeki yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Perlu diingatkan, setiap orang dah ada rezeki yang telah ditentukan. Maka tak perlulah kita merasakan wang kita habis kerana nak penuhi keperluan anak kita kerana itu sudah memang hak mereka yang diamanahkan kepada kita untuk memenuhinya.

.

Monday 18 April 2011

Nafsu...




Terdapat seketul daging dalam diri tiap-tiap manusia yang mana jika suci daging tersebut maka baiklah seluruh jasad dan sebaliknya, jika kotor daging tersebut, maka akan jadi jahatlah insan berkenaan. Daging tersebut adalah daging yang dikenali sebagai hati. Di dalam hati, ada nafsu. Adalah sudah menjadi fitrah di mana nafsu akan cenderung kepada perkara-perkara yang jahat. Maka nafsu ini perlulah dikawal dengan baik agar kita akan ditempatkan ke syurga pada hari akhirat kelak. Berikut adalah 3 strategi untuk mengawal nafsu agar dijauhi daripada melakukan perkara-perkara jahat:

1. Berpuasa
2. Mendidik nafsu melalui Ibadah seperti Solat-solat Sunat, berzikir, membaca Al-Quran dan bersedekah
3. Berdoa kepada Allah agar kita mampu melawan/mengawal nafsu

Menutup Aib Orang...




Pasti ada yang pernah menghadapi situasi di mana, apabila seseorang itu hendak dilantik memegang jawatan yang berkaitan dgn kebaikan/kebajikan, kemudiannya, akan ada yang membakang dengan alasan bahawa individu tersebut tidak layak untuk jawatan tersebut kerana kejahilan dan kejahatan yang pernah beliau lakukan di zaman silam.

.
Dalam Islam, sekiranya seseorang itu telah bertaubat, maka, menjadi kewajipan kepada kita untuk menutup aib beliau. Walaubagaimanapun, sekiranya individu itu masih tidak bertaubat, maka dibolehkan untuk kita (dlm situasi tertentu) mendedahkan kejahatan beliau dengan tujuan untuk menghindari kemudaratan (untuk kabaikan) masyarakat.

.
Jika kita menutup aib orang-orang yang telah bertaubat di atas dunia, Insya Allah, dihari akhirat nanti, Allah S.W.T. akan menutup aib kita. Kita juga ditegah menceritakan aib sendiri kepada orang lain. Allah S.W.T. akan mengampuni dosa umatNya kecuali mereka yang 'Mujahirin' iaitu orang yang suka menceritakan kejahatan yang mereka lakukan walaupun Allah telah menutup aibnya. Seperkara lagi, kita tidak boleh menghina orang-orang yang pernah melakukan kesalahan sekiranya mereka telah dihukum mengikut hukuman Islam. Perkara ini telah dibuktikan di zaman Rasulullah di mana Baginda sendiri telah mengimamkan solat jenazah buat kenalanNya yang telah mati akibat dihukum rejam kerana berzina.

.

Friday 15 April 2011

Undang-undang Jenayah Islam



Secara ringkas, undang-undang Jenayah Islam terbahagi kepada 3 bahagian:

a. Hudud
b. Qisas
c. Ta'zir

.
a. Hudud : Jenis hukuman telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dan digunakan untuk 7 jenis kesalahan berikut:

1. Mencuri
2. Merompak
3. Berzina
4. Memfitnah Orang Berzina
5. Meminum Arak
6. Murtad
7. Menderhaka Kepada Kerajaan Islam


.
b. Qisas : Hukumannya juga telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dan digunakan untuk 2 kesalahan berikut:

1. Membunuh
2. Mencederakan Orang



.
c. Ta'zir : Hukuman untuk kesalahan-kesalahan lain selain drp kesalahan dalam Hudud dan Qisas. Ditentukan oleh manusia contohnya hukuman melanggar lampu isyarat.

.

Thursday 14 April 2011

Adab2 Menghadiri Solat Jumaat


.
Solat Jumaat adalah merupakan perhimpunan besar mingguan buat umat Islam. Adalah menjadi kewajipan kepada semua Muslimin untuk menghadirkan diri ke perhimpunan agong ini. Hari Jumaat merupakan hari yang dianggap lebih mulia daripada hari raya Aidiladha mahupun Aidilfitri. Pada hari inilah kita berpeluang melipatkali gandakan pahala amalan kita. Antara perkara-perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W., untuk kita amalkan sebelum menghadiri perhimpunan ini adalah seperti berikut:


1. Mandi (Sunat Muakkad) - berniat mandi sunat Jumaat
2. Membersihkan diri (cth bersugi) dan memakai wangi-wangian
3. Memakai pakaian terbaik (warna putih utk Jemaah dan warna hitam utk imam)
4. Kemaskan segala rambut dan bulu-bulu serta momotong/membersihkan kuku
5. Datang awal ke Masjid (niat beriktikaf dan solat sunat)

.
Mandi sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat Malaysia. Tetapi tidak bagi masyarakat di Arab. Disebabkan faktor cuaca, tidak menjadi masalah bagi masyarakat Arab untuk tidak mandi walaupun selama 3 hari. Salah satu sebab mengapa disunatkan suami isteri untuk bersama pada malam Jumaat adalah bagi memastikan mereka mandi pada pagi Jumaat. Dalam bab memakai wangi-wangian pula, ada diantara masyarakat yang masih keliru tentang status halal haram pewangi beralkohol. Untuk makluman, majlis Fatwa telah menyatakan bahawa penwangi beralkohol boleh dipakai untuk bersolat. Alkohol pada wangian adalah methanol manakala alkohol pada arak adalah ethanol. Ethanol haram kerana memabukkan bila diminum.

.
Memakai pakaian terbaik berwarna putih adalah kerana bila warna putih, kita akan mudah mengesan jika ada sebarang kekotoran. Berkenaan datang awal ke Masjid, jika kita datang awal dalam keadaan bersih, berjalan kaki, niat beriktikaf, tidak tidur dan focus dengan amalan dan Khutbah, maka ganjaran pahala adalah sama seperti setahun qiyam dan puasa.

Wednesday 13 April 2011

Islamkah Kita???




Dalam sessi kuliah Zohor yang saya hadiri baru-baru ini, Ustaz berbicara berkenaan isu sudah cukup Islamkah kita dengan hanya mengamalkan Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Jawapannya, sudah tentulah tidak. Solat, Puasa, Zakat dan Haji adalah hanya sebahagian perkara yang wajib diamalkan oleh umat Islam yang dikategorikan sebagai Ibadah. Keempat-empat perkara tersebut juga merupakan rukun Islam yang sememangnya tidak boleh ditinggalkan oleh individu yang mengakui dirinya Islam.

.
Ajaran Islam merangkumi semua aspek di dalam kehidupan manusia. Dari saat seseorang itu dilahirkan, sehinggalah beliau dikebumikan, semua perkara bagaimana hendak menghadapinya ada dipandukan di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W. Kita akan menjadi Islam apabila kita mengamalkan semua ajaran Islam dan meninggalkan segala larangan yang di ajar di dalam Al-Quran dan Hadith tersebut. Keseluruhan cara hidup perlulah berlandaskan ajaran Islam baik dalam bab Ibadah, Muamalat, Perundangan, Kepimpinan dan sebagainya. Marilah kita merenung kembali kehidupan kita dan sama-sama memperbaikinya agar kita menjadi umat Islam yang benar-benar Islam.

Monday 11 April 2011

Muflis...



Di atas dunia ini, apabila seseorang itu berhutang dan beliau sudah tidak mampu lagi menjelaskan hutang tersebut, maka dia akan dianggap sebagai muflis. Berbeza pula dengan pengertian muflis pada hari akhirat menurut Rasulullah S.A.W.

.
Muflis pada hari akhirat nanti akan belaku apabila seseorang itu sudah kehabisan 3 pahala yang diamalkan semasa hayatnya disebabkan oleh tuntutan yang dibuat oleh mangsa-mangsa daripada dosa-dosa yang telah dilakukannya di atas muka bumi dahulu. Kesemua dosa-dosa tersebut adalah dosa yang dilakukan ke atas insan yang lain yang mana ianya hanya boleh diselesaikan apabila insan tersebut memaafkan kita.

.
3 pahala Ibadah yang dimaksudkan:

1. Solat
2. Puasa
3. Zakat

.
Antara dosa-dosa yang dimaksudkan:

1. Memaki hamun orang
2. Memfitnah orang
3. Memakan harta yang tidak hak
4. Memukul/mencederakan orang

.
Marilah kita muhasabah diri masing-masing dan elakkanlah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti orang lain. Semoga segala amalan dan ibadah yang kita laksanakan terus kekal menjadi milik kita agar dapat membantu kita menuju ke syurga nanti. Insya Allah.

.

Saturday 9 April 2011

Selamat Datang ke Caliph of Kampung Boyan

Assalammualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi di atas limpah kurniaNya, maka terbinalah laman Caliph of Kampung Boyan pada hari ini. Berkat ilham yang diberikanNya dan perbincangan dengan saudara Nazmi Faisal Mohammad Zaini, semangat untuk mewujudkan laman ini akhirnya berjaya direalisasikan.


.
Sewaktu kita semakin hampir dengan akhir zaman, cabaran yang perlu dihadapi dalam menjalani kehidupan seharian menjadi semakin hebat. Perkara ini memang jelas terpampang di media-media massa, media elektronik mahupun pengalaman diri sendiri. Memandangkan setiap daripada kita merupakan Khaliffah Allah di muka bumi ini, kita telah dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangan/tanggungjawab para Nabi dan Rasul untuk memastikan syariat dan syiar Islam terus diamalkan dan diperkembangkan oleh umat manusia sehinggalah ke hari kiamat. Wujudnya Caliph of Kampung Boyan ini adalah merupakan salah satu cabang usaha kami bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.


.
Fokus utama kami adalah kepada para belia/pemuda Kampung Boyan. Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk sama-sama membentuk dan membimbing para belia Kampung kami agar tidak terus hanyut dengan corak kehidupan sosial ala masyarakat jahiliah ciptaan barat yang semakin menjadi ikutan dan kebanggan masyarakat kita pada hari ini. Semoga Caliph of Kampung Boyan ini mampu menjadi platform untuk para pemuda Kampung Boyan bersatu dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sosial berteraskan ajaran Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.


.
Buat para pemuda Kampung Boyan, jadikanlah Caliph of Kampung Boyan ini sebagai pusat aktiviti sosial & kemasyarakatan, medan perkongsian ilmu, perbincangan & sumber rujukan, serta platform untuk kita menjalankan amal kebajikan untuk masyarakat di Kampung Boyan. Semoga usaha murni kita ini akan diredhai dan diberkati Allah S.W.T.  Amin Ya Rabbal Aalamin....

.